Pemeca

tan sembilan anggota Majlis Presiden MCA oleh Datuk Seri Ong Tee Keat melontarkan parti terbesar kaum Cina itu ke kancah kemelut baru. Menggunakan alasan ia dibuat sebagai sebahagian daripada Pelan Penyatuan Menyeluruh bagi mengukuhkan MCA, tindakan Ong sebagai Presiden parti dipertikaikan banyak pihak
Paling lantang pastinya oleh Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang nasibnya boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. Walaupun kedudukannya dalam Majlis Presiden dikekalkan, sembilan yang digugurkan ialah antara penyokong kuatnya.
Ketika beliau masih membasuh luka “kehilangan” kedudukannya sebagai Timbalan Presiden MCA, perkembangan terbaru itu pasti sesuatu yang sukar diterimanya. Tidak hairanlah beliau pantas melabel Ong mengamalkan “politik cantas dan hapus” dan memberi amaran pergolakan dalam parti itu yang kelihatan sedikit reda sebelum ini pasti kembali memuncak.
Melihat nama yang digugurkan Ong, andaian itu ada asasnya kerana ia turut membabitkan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Jika hasrat Ong menggugurkan sembilan anggota Majlis Presiden itu bagi mengurangkan ancaman pengaruh Liow, beliau kini terpaksa berdepan kekecewaan bukan saja Naib Presiden itu, malah juga semakin banyak pihak khususnya penyokong Wee dan Chew.
Sesuatu yang pasti, tindakan terbaru Ong itu akan mencetuskan lebih banyak rasa tidak puas hati. Itulah sebabnya Datuk Seri Najib Razak, dalam reaksinya berkata, beliau akan berjumpa semua pemimpin kumpulan yang bertelagah dalam MCA untuk mencari penyelesaian.
Keprihatinan perdana mentri terhadap kemelut MCA itu jelas kerana ia secara tidak langsung menjejaskan keutuhan Barisan Nasional (BN) khususnya dari segi sokongan kaum Cina. Seperti dijelaskan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada sesiapa suka melihat apa yang kini berlaku dalam MCA dan ia boleh menghakis sokongan terhadap parti itu.
Sebenarnya, dalam menangani permasalahan yang kini melanda MCA, kepemimpinan parti itu perlu matang dan sentiasa mengutamakan parti lebih daripada segala-galanya. Ketika ini, Pelan Penyatuan Menyeluruh yang dibentangkan Ong itu kelihatan lebih memihak kepada menjaga kepentingan politik beliau dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Itulah sebabnya, apa jua alasan yang diberikan untuk menghalalkan pemecatan itu sukar diterima, khususnya oleh penyokong akar umbi MCA. Ong sepatutnya sedar tindakannya menyingkirkan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita daripada Majlis Presiden itu pasti mengundang reaksi yang boleh menjejaskan kestabilan parti, jika tidak pun kedudukannya sendiri.B/H