Pelajar IPT ikat perut
Date: Friday, March 12 @ 18:58:39 PST
Topic: Pendapat


Oleh Penarik Beca

Dengan ucapan terima kasih tak terhingga, saya sokong sangat-sangat kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang meminta semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyediakan laporan lengkap berhubung masalah beban kewangan yang dihadapi pelajar masing-masing, sehingga ada yang terpaksa 'mengikat perut' kerana ia boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

Kenyataan itu lebih proaktif dari sedap-sedap mulut menyuruh orang mengubah cara hidup.



Saya tahu banyak kes pelajar yang ikat perut, bukan sahaja di IPTA malah di IPTS. Oleh kerana saya sendiri tak berapa ada duit, saya telah meminta tolong kepada dermawan-dermawan seperti Salahuddin Ayub, Datuk A Kadir Jasin, Dr Zulhisham Ghazali dan Elviza Michele Kamal (sekadar menyebut beberapa nama). Saya bagi nombor akaun pelajar yang berkaitan. Di atas budi baik dan keprihatinan mereka, saya memohon Allah membalas budi baik mereka dengan kebaikan yang melimpah-limpah.

Menjadi impian saya untuk membuat tabung bagi membantu pelajar-pelajar yang kesusahan. Tetapi kalau saya yang diketahui umum sebagai kutu sengkek yang initiate dan kutip duit, tentu orang berkata-kata dalam hati, "bagi duit kat barua ni, budak miskin dia tak bantu, perut dia pulak yang buncit dengan duit kita".

Saya masih berharap ada pihak yang initiate dan tolong kutip serta bagi derma kat pelajar-pelajar yang kesusahan tu.

Berita berkaitan:
IPTA diarah lapor graduan 'ikat perut'

Berita Harian (13/3/10): Semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diarah menyediakan laporan lengkap berhubung masalah beban kewangan yang dihadapi pelajar masing-masing, sehingga ada yang terpaksa ‘mengikat perut’ kerana ia boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata arahan itu dibuat selepas beliau menerima maklumat ada segelintir pelajar IPTA terpaksa ‘mengikat perut' atau bekerja sambilan untuk menampung kos hidup sepanjang mengikuti pengajian di kampus. “Berdasarkan maklumat yang saya terima ada pelajar yang terpaksa bekerja sambilan untuk mendapatkan wang tambahan, malah ada yang terpaksa meminjam daripada pensyarah kerana ketiadaan wang.

“Walaupun perkara ini tidak serius namun kita perlu menanganinya dengan mengenalpasti jumlah sebenar pelajar yang berhadapan dengan masalah itu supaya langkah sewajarnya diambil bagi membantu mereka,” katanya kepada media selepas melancarkan bengkel ‘Training of Trainers’, Kokurikulum Berkredit Institusi Pengajian Tinggi di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh selama sebulan iaitu sehingga pertengahan April ini kepada semua IPTA untuk menyerahkan laporan terbabit antara lain mengandungi cadangan yang perlu dilakukan oleh kementerian untuk mengatasi masalah itu.

“Masalah ini perlu ditangani bersama oleh IPTA dan kementerian kerana kita khuatir akan berlakunya fenomena kemiskinan kampus hingga boleh menjejaskan kualiti serta kebolehpasaran graduan IPTA.

“Pada masa yang sama, kita perlu mengenalpasti punca masalah ini sama ada ia disebabkan latar keluarga, jumlah pinjaman yang diterima atau dasar yang ditetapkan oleh kementerian," katanya.

Mengenai usaha yang dilakukan pihak IPTA untuk menangani masalah ini, Saifuddin berkata, semua IPTA mempunyai mekanisme masing-masing untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan namun jumlahnya adalah terhad.

Oleh itu, beliau meminta semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru dilantik membantu mengenalpasti pelajar terbabit, bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.

http://penarikbeca.blogspot.com







This article comes from Detikdaily
http://www.detikdaily.net/v5

The URL for this story is:
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=6571