Mampukah Ong Ka Ting pulih MCA?
Date: Friday, March 19 @ 20:02:09 PDT
Topic: Artikel


Oleh - Markus Lim

Kuasa dan pengaruh sememangnya sukar untuk ditolak. Kuasa dan pengaruh menjanjikan prestij, status serta kemampuan untuk menikmati segala-galanya yang belum pernah dikecapi sebelum ini.

Keputusan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting awal minggu ini untuk keluar dari persaraan selepas 19 bulan menyepi dan kembali bersaing pada pemilihan parti untuk jawatan Presiden MCA pada 28 Mac depan bukanlah sesuatu yang mengejutkan.



Sebaliknya, tindakan tersebut hanya terus mengukuhkan pandangan sinis masyarakat umum di luar sana bahawa kebanyakan pemimpin MCA, kalaupun tidak semua nampaknya lebih berminat untuk mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan umum.

Sememangnya, kepulangan Ka Ting ke persada politik MCA ‘amat’ dialu-alukan kerana penyertaan beliau untuk persaingan jawatan Presiden parti bukti kukuh bahawa semangat demokrasi masih subur dalam MCA dan tidaklah seburuk yang digembar-gemburkan oleh segelintir pihak.

Malah ketika ditemu ramah dalam Program Soal-Jawab di TV3 tempoh hari, Presiden MCA, Datuk Sri Ong Tee Keat (OTK) ada menyatakan bahawa hak Ka Ting untuk bertanding tidak boleh dinafikan.

Mahu atau tidak, keputusan Ka Ting itu dijangka mengubah dinamika dan hala tuju pemilihan parti, sama secara langsung atau tidak langsung.

Timing kemasukan semula beliau ke MCA untuk menyelamatkan parti bagaimanapun dilihat terlalu mendadak oleh segelintir pihak. Keputusan untuk bertanding jawatan tertinggi parti dibuat setelah mendapat sokongan daripada lebih 40 divisyen parti (yakni lebih 1/4 sokongan sahaja).

Persoalannya, mengapa sekarang? Mengapa Ka Ting? Di manakah beliau selama ini ketika krisis dalaman parti mula meletus bila mana khidmat nasihat dan tunjuk ajar diperlukan? Realitinya, jika mahu keluar dari persaraan untuk menyelamatkan parti, mengapa beliau tidak keluar jauh lebih awal dan tampil membantu?

Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (CSL) beberapa hari lalu dalam satu temu ramah dengan media tempatan sempat menempelak Ka Ting dan mempersoalkan timing pengumuman niat bekas Presiden MCA itu.

Keputusan Ka Ting untuk bertanding jawatan Presiden MCA sesungguhnya telah menghantar satu mesej yang kurang tepat kepada masyarakat Cina dan rakyat Malaysia amnya. Ia seolah-olah menunjukkan MCA kini ketandusan barisan pemimpin pelapis yang boleh diharapkan untuk menggalas cabaran menghadapi Pilihan Raya Umum-13.

Bukankah satu ketika dahulu bekas Presiden MCA itu pernah berjanji untuk tidak campur tangan dan terus bersara dari arena politik kepartian? Bukankah beliau juga pernah menyatakan keyakinannya terhadap barisan kepemimpinan baru (OTK dan CSL) untuk mentadbir parti?

Kita turut mendengar pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang bertanding pemilihan selalu menyerahkan nasib mereka kepada perwakilan. Perwakilan sering kali dipuji sebagai pihak bijak yang mampu memilih dengan baik. Tetapi apabila keputusan untuk bertanding semula, ia sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai ketidakyakinan terhadap pilihan perwakilan.

Ini bukan soal Ong Tee Keat, Ong Ka Ting atau Chua Soi Lek menang pada pemilihan parti. Hujah di sini ialah berkaitan dengan isu integriti dan kredibiliti parti MCA di mata masyarakat umum serta parti-parti komponen BN yang lain.

Apa yang dikhuatiri sekarang adalah keputusan untuk kembali bertanding pada pemilihan parti akan mencetuskan satu precedent yang tidak baik dalam kalangan parti-parti komponen BN lain. Mungkinkah trend ini juga akan kelihatan selepas ini di UMNO, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti lain?

Walau apapun terjadi, pemilihan parti MCA pada 28 Mac ini sudah pasti menjanjikan persaingan sengit - satu persaingan yang akan menentukan bangkitnya atau berkuburnya MCA di persada politik negara. Adalah diharapkan semua calon-calon yang bertanding akan bersaing secara sihat dan atas semangat kekeluargaan.

Peluang dan kesempatan untuk merobah serta mentransformasikan MCA kini terletak di hadapan mata pemimpin dan perwakilan parti. Manfaatkanlah peluang keemasan tersebut dengan sebaik-baiknya.

Titik-tolak dan masa hadapan MCA bermula dari saat ini...

* Penulis adalah bekas wartawan sebuah akhbar arus perdana. Beliau kini pemerhati politik dan penulis bebas. Segala komen adalah pandangan peribadi beliau semata-mata.







This article comes from Detikdaily
http://www.detikdaily.net/v5

The URL for this story is:
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=6657