Debaran semakin terasa menjelang hari penamaan calon MCA
Date: Friday, March 19 @ 22:42:28 PDT
Topic: Berita


Debaran semakin terasa menjelang dua hari lagi hari penamaan calon parti MCA iaitu Isnin ini, sebelum pemilihan diadakan pada 28 Mac.Para pemimpin lebih-lebih lagi puak-puak yang ingin bertanding awal-awal  sudah menjelajah ke seluruh negeri bertemu degan para perwakilan bagi meraih sokongan.

Spekulasi dan hipotesis mengenai siapa dalam kem siapa bertiup kencang.Namun segala-galanya belum pasti, semua orang menutup mulut mengenai  jawatan yang mereka ingin tandingi. Yang pasti strategi sudah disusun, disemak dan sedang dikemas kini.



“Dua hari lagi menjelang hari penamaan calon, dalam tempoh ini macam-macam boleh berlaku. Tunggu dan lihat saja,” kata bekas anggota Jawatankuasa Pusat (CC), Datuk Tan Chai Ho.

Hanya Datuk Seri Ong Tee Keat yang mengumumkan akan mempertahankan jawatan presiden, disusuli dengan kenyataan mantan presiden Tan Sri Ong Ka Ting bahawa beliau menawar diri untuk bertanding jawatan presiden bagi menyambut rayuan pelbagai pihak, yang mahu melihat pentadbiran parti pulih dan parti kembali perkasa.

Penyertaan Ka Ting seperti yang diumumkannya Selasa lalu dilihat telah mengubah situasi yang ada.

Bagaimanapun bukan semua pihak menyambut baik hasrat beliau itu.

“Saya hormat keputusannya, tetapi sebagai presiden yang sudah bersara, lebih elok jika beliau bertindak sebagai pengantara, bukannya merumitkan lagi keadaan,” kata Tan.

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut belum mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan timbalan presiden. Orang lain juga belum berbuat demikan bagi jawatan tersebut, hanya terdapat spekulasi bahawa Datuk Seri Kong Cho Ha dan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan ikut serta.

Yang hanya membuat pengesahan ialah Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Datuk Donald Lim yang mahu bertanding jawatan naib presiden.

Sejumlah 31 jawatan akan dipertandingkan termasuk empat jawatan naib presiden dan 25 CC.

“Sama-samalah kita nantikan hari penamaan calon, saya pasti akan terdapat kejutan nanti,” kata seorang ketua bahagian.

Penamaan akan dilakukan dari 1 hingga 5 petang. — Bernama







This article comes from Detikdaily
http://www.detikdaily.net/v5

The URL for this story is:
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=6665