Adik-adik, umat mahasiswa yang dikasihi,
Melewar di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra sebentar tadi, saya bertembung dengan seorang rakan pimpinan PKPIM yang turut sama bertandang di sini.
Maka, antara isi bualan yang sempat dicerap adalah - ada kalangan 'polis-polis' menyamar sebagai petugas dewan tempat saudara mahu berkongres itu, lalu saudara pun berpindahlah segera atas 'arahan' petugas itu? Benarkah begitu?
Sama ada versi cerita selepas ini akan jadi berlainan, maka saya cuma ingin membentangkan suatu pendapat saya yang tidak boleh diubah oleh sesiapa, iaitu polis (temenggung) pernah menjadi musuh negara, seteru rakyat dan cuai dalam tindak tanduk mereka ketika mengawal keselamatan negara.
Hal ini, ada disebut dalam Sulalatus Salatin. Dalam beberapa hari lagi, mereka akan menyambut Hari Polis. Saya cuma berharap Musa Hassan akan dapat membaca coretan ini dan cuba membidasnya jika beliau mampu membidasnya.
Masa: 11:41 malam (21 Mac, 2010)
Tempat: Di sebuah warung, dekat Jalan Raja Abdullah (dahulunya dikenali dengan Jalan Hale)
Saudara-saudara, kita bertemu semula ...
Tadi hujan lebat. Jadi saya pun tersekat dalam perjalanan pulang dari PDDP ke Kg Baru. Kini, baru selesai makan dan minum-minum di sini seperti malam sebelumnya. Moralnya, sentiasalah beringat.
Bahawa dalam dunia ini, cuma kuasa alam yang dapat menyekat segala amalanmu. Baik amalan itu buruk atau jahat, maka kuasa yang terbit dari alam itulah penentu kepada berjaya atau tidak amalan saudara itu.
Saudara jangan sama sekali hentikan amalan soleh saudara kerana takutkan seseorang. Biarlah guruh, ribut dan taufan yang menggegarkan serta kilat yang sabung-menyabung itu yang menyekat hasrat saudara.
Biarlah sakit demam yang membalut tubuh saudara yang akan menghalang saudara bergerak. Bukan polis atau kuasa-kuasa yang kita pinjamkan kepada mereka yang menyekat segala amal baik kita itu.
Mereka tiada hak yang sebenarnya. Polis telah melanggar Perlembagaan Persekutuan apabila menghalang rakyat berhimpun secara aman. Tindakan polis itu jelas melanggar hak asasi manusia.
"Tak kira kamu Aspirasi ke, Pro M ke, pendek kata, kami dapat arahan atasan, Dang Wangi, yang kamu kena pindah," begitulah yang Fahmi ceritakan ketika bertembung di sana Maghrib tadi.
Saya mendengar dengan teliti. Rakan Fahmi juga mengangguk-angguk. Beberapa amoi dan aweks cool yang lalu-lalang antara celah-celah rak dan timbunan buku itu, tidak menambat perhatian walau hati ini digaru-garu kegatalan untuk melihat aksi hadhari mereka berjalan catwalk dengan penuh bergaya dan glokal sekali.
"Takkan 'pekerja dewan' (mungkin polis, sb yang menyamar) tu tau tentang Pro M dan Aspirasi?" demikian kata Fahmi lagi. Ya, masa bila pula pekerja dewan tu ambil peduli soal kegiatan kampus ni?
Saya difahamkan, memang ada jabatan khas berhubung kemahasiswaan. Mereka memang ada fail mengenai nama-nama pimpinan pelajar universiti. Jadi, anda tidak boleh lari ke mana lagi. Tapi, nak takut apa sangat?
Saudara tidak perlu takut-apatah lagi dalam keadaan paparan imej Musa Hassan yang semakin lusuh ini, kita tidak seharusnya takut lagi. Rakyat dan umat sudah membenci dan menolak polis!
Cukai-cukai rakyat digunakan untuk membeli cota, belantan, FRU sekali gus membayar gaji polis, sedangkan dalam masa yang sama kes Sharlinie dan Nurul Jazlin masih belum selesai! Bukankah ahli keluarga adik-adik itu masih terbengkalai lantaran polis masih sibuk memburu ceramah PR dan mengusir kongres SMM!
Tahun lalu, di Dang Wangi, beberapa pekerja NUJ UM, kesatuan sekerja Utusan Malaysia telah pun bertindak meminta permit untuk mengadakan perhimpunan bersempena 'Muktamar' Umno.
Sebagai termaklum, maka mungkin polis berani memberi kelulusan terhadap mereka setelah kerajaan sudah dilaburkan dengan banyak sekali sebagai biaya gaji mereka.
Cukai-cukai rakyat sudah pun dileburkan dengan banyak sekali untuk membayar gaji polis yang tinggi itu. Ya, demikianlah mereka membalas 'jasa baik' rakyat dengan menyembur asap gas pemedih mata kepada kita.
Saya berhenti dahulu... bateri sudah lemah.. dan hujan masih menangis ketika awan terkial-kial menahan sebak. Di langit, ada syaitan sedang berlari-lari, berteriak dan meronta-ronta ketika dicambuk rotan kilat oleh para malaikat.
Sekian buat sementara, saya mahu manghabiskan sisa minuman yang masih berbaki. Sehingga saya menulis ini, maka jangan sesekali saudara melupakan bahagian ini, bahagian di mana saudara dihalang berkongres!
Bersambung ... insya Allah Ta'ala
12:01 pagi, 22 Mac, 2010
Sekolah Pemikiran Kg Baru
Alhamdulillah, mujurlah terjumpa sebuah tempat untuk mengecaj bateri komputer bimbit saya. Jadi, sekarang kita akan melabuhkan fikiran untuk masa-masa yang seterusnya.
Sultan Alauddin Riayat Syah anti 'polis'?
Saya ingin pulang kepada Sulalatus Salatin, di mana ada satu peruntukan bab di mana ia mengisahkan babak di mana Sultan Alauddin Riayat Syah, raja berjiwa sufi, ratu adil, mengambil tindakan turun padang.
Ini kerana, pada ketika itu, Temenggung tidak buat kerja. Sultan sendiri terpaksa turun padang, menangkap pencuri sehingga berjayalah baginda menangkapnya.
Keesokan harinya, tiba waktunya mengadap, maka timbullah sesi soal jawab antara Sultan Alauddin dengan Temenggung itu Ditanya soalan berhubung kejadian semalam, apakah kedengaran kisah pencuri ditangkap?
Tercungap-cungap Temenggung menjawab. Apa yang pentingnya di sini ialah-ketika kes kecurian menjadi-jadi di negeri Melaka, maka semakin berpestalah akan sekalian 'kawaq' dan pencuri.
Maka, terkenallah Sultan Alauddin itu sebagai raja yang prihatin ke atas rakyatnya dengan membuat 'reform', ke atas pasukan polis Temenggung pada zaman Melaka yang agung itu sehingga dibuat orang akan pantun.
(Nota: Abdullah Ahmad Badawi pernah nak buat 'reform' polis lewat IPCMC, tetapi polis berkenan...)
Sultan Alauddin berlari-lari
Hang Isap dan Hang Siak ke mana
Maka raja menangkap pencuri
Pencuri lari ke Bukit Cina.
Kenapa pula pencuri itu lari ke Bukit Cina maka tiada kita ketahui. Mungkinkah di situ tempat persembunyian akan sekali pencuri dan 'kawaq-kawaq'? Bukankah Bukit Cina itu ada hubungan dengan pengikut Hang Li Po?
Hal ini pun, suatu bab yang menarik juga dibincangkan. Tapi, takkan polis nak berbincang hal ilmiah. Lagikan kongres SMM mereka bubarkan, inikan pula berbincang hal-hal akademik dalam seminar dan wacana.
Satu-satunya wacana yang mungkin relevan ialah, mungkin seminar dan bengkel untuk menaikkan gaji polis.
Mujurlah ketika itu, kita belum berhubungan dengan Puteri Mongolia. Jika tidak, tercatat suatu lagi kenangan pahit dalam catatan gelap sejarah kita yang tak mampu dilumpuhbunuhletupkan dalam ingatan rakyat.
Apa-apa pun, cukuplah hal ini menjadi ingatan terhadap. Semak balik hai Musa Hassan, bahawa jawatan yang sedang anda pegang ini pernah dicemuh oleh Sultan Melaka-ratu adil, berjiwa sufi, soleh dan dia seorang raja agung empayar Melaka yang bernama Sultan Alauddin Riayat Musa HassanSyah!
Ingat! Melaka ketika itu bukan negara, bukan negeri seperti hari ini, sebaliknya ia adalah suatu EMPAYAR!
Jawatan yang saudara pegang itu wahai Musa Hassan, adalah jawatan mewakili maruah sebuah negara! Anda bukan gagah seperti Dato' Zaman.
Rakyat masih ingat, umat belum lagi melupakan kehebatan mantan pengarah CID Bukit Aman. Beliau pernah dihubungi penjenayah paling dikehendaki dan diugut bunuh. Akhirnya, pada 1993 Kalimuthu ditembak mati di Bentong. Adakah anda wahai Musa dapat mencari pembunuh adik Nurul Jazlin dan penculik Sharlinie?
Sekarang, rakaman CCTV pembunuh adik Nurul Jazlin dihantar ke Amerika, mungkin ke CIA, FBI dan entah di mana sahaja. Tetapi, apa hasilnya? Ada Dato' Zaman buat sampai ke tahap itukah?
Sendiri mahu muhasabahlah. Jadi, sempena Hari Polis ini, maka raikanlah sendirian 'jasa-jasa' anda terhadap rakyat dan umat Malaysia selama ini telah dipukul yang dan dipecahkan tempurung lutut mereka di jalanan.
Kami warga Malaysia sudah tidak percayakan kami wahai Musa!
Maaf, terlanjur marah kepada KPN, terlupa pula kepada anda, saudara-saudara siswa. Ya, begitulah bila suara hati ini melantun-lantun oleh riak gelombang marah dan gempuran badai dendam yang tak sudah-sudah.
Peluh keringat hujan baru diseka awan. Angin mula berpuput lembut dan kedinginannya mendamaikan. Tapi, ia tetap tidak mengurangkan bahang kehangatan yang membara, malah marah masih tercurah dalam dada.
Kereta-kereta sudah semakin kurang berkeliaran di jalan raya. Dan, saya mohon diri terlebih dahulu. Sekian.
1:15 pagi, 22 Mac, 2010
Sekolah Pemikiran Kg Baru.