Posted on Wednesday, October 07 @ 01:30:00 PDT by Paktam
Bagan Pinang, yang Bagan Pinang. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menang di Permatang Pauh, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Bukit Gant ang, S Manikumar di Bukit Selambau, Mohd Salleh Man di Permatang Pasir, Dr Mansor Othman di Penanti, Mohd Abdul Wahid Endut di Kuala Terengganu dan Mohd Fauzi Abdullah di Manek Urai. Bagan Pinang ya Bagan Pinang, bagaimana�?
Pelbagai hal dipercakapkan orang, dan selaku pembicara, kata-kata orang sebahagiannya mempengaruhi saya. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dianggap sesetengah pihak tidak sesuai menjadi calon Barisan Nasional di Bagan Pinang, kerana beliau telah dihukum atas kesalahan politik wang. Hukuman itu dianggap sama seperti hukuman oleh mahkamah, padahal sejak awal lagi saya menganggapnya oleh UMNO ialah hukuman adik beradik, iaitu abang-abang (mungkin ada kakak juga) menghukum adik yang berbuat silap dari segi etika. Apabila Isa selesai menjalani hukuman itu, Tun Mahathir yang tidak pernah menghukumnya, tiba-tiba menganggap kesalahan itu melekat pada tubuh peribadi Isa.
Perlawanan telah berlaku di tujuh tempat, dan kesemuanya dimenangi Pakatan Rakyat. Pilihan raya berjalan elok, jika kita mahu mengatakannya elok. Jika kita mahu mengatakannya tidak elok, kita akan menyebutkan hal-hal buruk yang tidak kita lihat, lalu kita anggap bahawa keburukan telah terlihat. Ini ialah hakikat politik, orang akan menyebelah. Lantaran terlebih menyebelah, pada hari penamaan calon, gurauan saudara mara yang berbeza pegangan politik terlanjur menjadi pergaduhan, bertumbuk. Teringatlah saya kepada sebuah sajak, ini petikannya: Mereka berebutan, anakku, berebutan. Emosi melulu. Jika kau besar nanti, rebutlah ilmu.
Saya tidak mengenali Zulkefly Mohammad Haji Omar, calon Pas. Melihat pada gambar wajahnya di akhbar, saya yakin beliau orang baik, sebaik Isa Samad. Kebaikan Isa Samad pernah saya lukiskan begini:
Buah betik kacang kelisa, Mari diangkut jual di pekan; Orang yang baik seperti Isa Jatuh ke laut disokong ikan. Nilai baik dan buruk adalah subjektif. Oleh itu, dalam mana-mana pilihan raya orang bercakap tentang kedua-duanya, dan selalunya hanya yang di atas pagar akan boleh condong ke arah yang tidak dijangka. Yang sedia berada di dalam pagar A, akan sanggup terlanjur bergurau, demikian juga yang berada di dalam pagar B. Yang terlanjur itulah yang bertumbuk, atau mungkin juga menggunakan senjata untuk lebih terlanjur. Di kalangan pengikut parti politik, gurauan adalah hebat, malah dahsyat. Di kalangan pemimpin parti politik, selalunya ada tolak ansur, dan gurauan mereka ialah bersalam-salaman.
Ketika makalah ini sedang ditulis, saya mendapat SMS dari Terengganu, dan saya hantarkan SMS itu ke Perlis. Kemudian, jawab menjawab SMS terus berlangsung, membawa tema kesesuaian atau ketidak-sesuaian Isa menjadi calon. Salah seorang daripada yang di Perlis tidak menyebut nama Isa, sebaliknya menyatakan keraguannya tentang undi pos. Yang seorang lagi, meminta saya memberikan tahniah kepada Isa kerana terpilih untuk bertanding. Yang di Terengganu menyatakan kemungkinan Tun Mahathir berpengaruh bagi mengurangkan undi untuk Isa.
SMS yang sedemikian memberikan kesan kepada saya dalam ‘kerja’ meramal keputusan pilihan raya ini. Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya amat gemar dengan ‘kerja’ tanpa gaji ini. Setelah meramal siapakah yang akan menang dan kalah, setelah keputusan diketahui, akan dipercakapkan pula mengapa menang dan mengapa kalah. Ada pihak yang akan bercakap tentang penipuan, ugutan, dan aneka jenis gangguan yang sebenarnya amat menjemukan, tetapi sanggup diulang-ulang. Isi percakapan itu selalunya ‘atas angin’, iaitu tidak diketahui betul-betul.
Dalam hal Isa Samad di Bagan Pinang, yang dapat saya ramalkan ialah beliau akan menang atas sebab-sebab berikut. Pertama, beliau sudah lama berada di kawasan itu. Jika beliau tidak menjadi tokoh politik pun, beliau dikenali di situ. Kedua, beliau mesra rakyat, berjenaka secara yang agak tidak disangka-sangka. Ketiga, beliau dikenali sebagai lelaki yang telus apabila berkata-kata. Keempat, kecenderungan semula jadi beliau ialah membantu sesiapa yang memerlukan bantuan. Memang saya boleh menyebutkan sifat-sifat baik beliau yang lain, tetapi rasa-rasanya semua ini tidak akan disoal dalam peperiksaan SPM yang akan berlangsung bermula pertengahan bulan November nanti. Jika ada sesiapa yang akan SMS kepada saya tentang sifat buruk beliau, jawapan saya ialah: untuk insan, hanya bicara tentang kebaikan akan menghasilkan pahala.
Sinar Harian Ahad 4 Oktober 2009 menyiarkan tulisan Aisar Yee Abdullah, berjudul “Kalau Bukan Isa, Kalahkah UMNO?” Daripada judulnya kita tahu bahawa penulis itu tidak senang dengan pemilihan Isa sebagai calon. Disebut nama kawannya Hasnah, yang juga tidak bersetuju. Ternyata, pemilihan Isa menyebabkan rakyat Malaysia berfikir itu dan ini. Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia mengatakan: People will remember him (Isa) for the leadership he provided when he was the Menteri Besar. (New Sunday Times, Oktober 2009).
Yang akan berlaku, akan berlaku. Kita tunggu. Yang kita harapkan, jika telahan ini betul, atau silap, kita terima keputusan tanpa terlalu banyak bercakap tentang penipuan di peti undi, melainkan jika nyata dan terbukti. Sesiapa pun yang menang, atau kalah, rakyat Malaysia tetap menang, kerana sesiapa pun, ya sesiapa pun, kita ini 1Malaysia. Jika sesiapa tidak bersetuju, tidak mungkin dikatakannya 2Malaysia.Sinar Harian
|