Posted on Tuesday, November 03 @ 22:44:41 PST by tokdalang
 Oleh Lim Hong Siang Kemelut MCA semakin "dramatik" dari semasa ke semasa, khususnya apabila perkemba ngan terkini menyaksikan bagaimana "Pelan Perpaduan" berakhir dengan kesudahan yang menentang keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober 2009.
Kesudahan EGM tersebut cukup "dramatik", apabila 2,307 orang perwakilan mengundi untuk menyingkirkan kedua-dua orang pemimpin tertinggi M CA yang saling bertelagah. Namun, keputusan semalam lebih "dramatik", apabila kedua-dua pemimpin yang tersingkir itu kembali kekal pada tempat asalnya. Dalam perkiraan Pengerusi Barisan Nasional, Najib Razak yang tidak sabar untuk mengatur semula langkah BN, kemelut MCA perlu dibubuh tanda noktah segera dengan apa jua cara. Justeru itu, Najib merestui "Pelan Perpaduan" yang dikemukakan oleh Ong Tee Keat bersama Chua Soi Lek, dengan andaian bahawa Ong-Chua masing-masing menguasai sokongan hampir 50% di akar umbi. ROS campur tangan? Namun demikian, Najib mungkin tersilap apabila bekas anak buah Ong Tee Keat, Liow Tiong Lai bangkit untuk menentang Pelan Perpaduan ini. Senario terbaru menyaksikan puak Liow yang meretak dari kem Ong Tee Keat, bangkit untuk menentang Pelan Perpaduan Ong-Chua. Puak Liow ini disokong kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita, memanggil EGM yang kedua untuk merombak semula "AJK Pusat". Liow Tiong Lai yang dilantik sebagai Timbalan Presiden sejak 15 Oktober, tidak berpuas hati dengan pengesahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Chu a Soi Lek kekal sebagai Timbalan Presiden. Liow yang kembali sebagai Naib Presiden, jawatan asalnya selepas 19 hari ini berkata akan mencabar keputusan ROS. Kini, situasi menjadi celaru apabila ROS dituduh campur tangan dalam hal-ehwal MCA, kerana Perlembagaan Parti MCA telah menyatakan bahawa keputusan EGM adalah muktamad. Kecelaruan ini dilanjutkan apabila tafsiran terhadap perlembagaan parti tersebut berbeza. Masing-masing membuat tafsiran mengikut kepentingan diri. Kuasa digunakan sesuka hati Yang lebih menarik, Ketua Biro Undang-Undang yang ditugaskan untuk meneliti perlembagaan parti, ditukar oleh Presiden MCA. Penyandangnya yang terbaru terus mendakwa bahawa tindakan AJK memanggil EGM kedua adalah bercanggahan dengan Perlembagaan MCA. Lebih-lebih lagi, Ong Tee Keat secara mengejut "memecat" empat AJK Pusat (Central Commitee) semalam, tiga jam sebelum mesyuarat AJK Pusat dimulakan. Pelucutan jawatan ini dibuat secara lisan melalui setiausaha politik Ong Tee Keat sendiri, dan bukannya Setiausaha Agung MCA. Empat AJK Pusat ini dilantik setahun lalu oleh Presiden, menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam perlembagaan. Keempat-empat orang ini mendakwa diri mereka dipecat kerana Ong ingin membalas dendam, ekoran tidak menyokong pimpinan Ong. Gambaran menjadi lebih jelas apabila tiga orang AJK baru, yang dilihat dari puak Chua Soi Lek dilantik memasuki Jawatankuasa Pusat kemudiannya. Rule of law? Pendek kata, MCA kini memasuki era tanpa semangat rule of law. Pemimpin bukan sahaja tidak berpegang kepada janji, malah enggan menghormati keputusan perwakilan, bahkan sanggup memberi tafsiran yang berbeza terhadap perlembagaan parti mengikut kepentingan diri. Walaupun Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek mungkin memperolehi apa yang diingini, namun MCA mengalami kehilangan yang lebih besar, berikutan daripada pergelutan kuasa ini. Pemimpin kehilangan kredibiliti, parti kehilangan kedaulatannya (membenarkan kuasa luar untuk 'merestui' Pelan Perpaduan), kedudukan perlembagaan diperlekeh, suara perwakilan disanggah... Lebih penting, parti ini menampil dirinya sebagai parti tanpa rule of law, dalam era politik moden yang mendukung semangat demokrasi. Maka, mustahil MCA yang kini memiliki "Timbalan Presiden berkembar" ini, ditaruh harapan untuk menyelesaikan kemelut "Perak Berkembar". *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
|