Posted on Friday, November 20 @ 20:44:54 PST by tokdalang
Oleh Zolkharnain Abidin Seorang kawan bergurau, PLUS adalah akronim ‘pantang lalu, ulur (hulur) selalu’. Orang tol hulur tiket dan pen gguna hulur wang. Tiket diambil kembali dan kalau terlipat, koyak atau hilang, pengguna didenda. PLUS dapat kembali tiketnya dan dapat juga wang.
PLUS sudah kaya-raya. Tidak pernah terdengar PLUS rugi. Kerugian PLUS boleh menjadi sebahagian daripada tanda-tanda kecil kiamat di samping tanda-tanda lain yang memang sedia ada. Akhbar melaporkan PLUS untung lagi bahkan meningkat berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya. Menurut PLUS, keuntungan itu dipacu oleh pertambahan trafik yang kukuh. Bahasa mudahnya, lebih banyak kenderaan yang menggunakan lebuh-lebuhraya PLUS (baca sini). Kalau boleh saya katakan begini, PLUS untung kerana pengguna yang tidak punya pilihan. Melalui jalan-jalan biasa terutamanya pada musim perayaan dan pada waktu puncak sangat menyeksakan. Jalan rosak, sesak, habuk, asap, dan banyak lagi. Produk PLUS adalah lebuhraya. Walau pun produk itu tidak sebagus mana, hanya itulah yang ada. Lebuhraya PLUS pun, pada musim perayaan hampir sama saja dengan jalan biasa. Berasak-asak di tol, selesa sikit kalau pakai ‘sentuh dan pergi’. Tetapi tetap sesak, bila ada mana-mana pengguna yang silap masuk atau kad ‘S dan P’nya bermasalah. Sama juga dengan keadaan di R & R seperti di R & R Gurun arah utara. Suraunya kecil, tandasnya sempit, gerai makanannya kurang bersih, tempat meletak kenderaan yang terhad dan banyak lagi. Sepatutnya PLUS menyediakan laluan berbumbung antara tempat letak kereta dan gerai makan untuk keselesaan pengguna ketika hujan lebat. Apa pun, PLUS pasti akan untung lagi pada masa akan datang. Kalau sudah untung, janganlah ada dalam kepala otak pengurusan PLUS untuk menaikkan kadar tol. Kalau PLUS ada cadangan sebegitu, saya juga ada cadangan untuk PLUS. Tukar saja PLUS kepada PLSS, ‘pantang lalu sembelih selalu’ atau PLCS, ‘pantang lalu cekik selalu’. Kalau nak sedap lagi, pakai saja PLCP, ‘Projek Lebuhraya Cekik Pengguna’. http://bongkarsauh.blogspot.com/
|