Posted on Monday, November 23 @ 03:40:14 PST by tokdalang
 Kini hampir 20 tahun Kerajaan PAS Kelantan diberi kepercayaan jitu oleh rakyatnya mentadbir negeri yang lebih sinonim dengan gelaran Serambi Mekah. Apakah sokongan tidak berbelah bahagi mereka kerana dasar Kerajaan PAS atau ketokohan Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendorong kekalnya kerajaan PAS hingga hari ini.
Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Dato Mohd Amar Nik Abdullah mempunyai rahsia tentang kekuatan Kerajaan PAS Kelantan. Beliau juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Kelantan. Ikuti interbiu eksklusif Wartawan Harakah, SALMIYAH HARUN bersama beliau baru-baru ini. HARAKAH: Apa kekuatan Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga terus mendapat sokongan rakyat sepanjang 20 tahun?
DATO' MOHD AMAR: Tuan Guru Nik Aziz sedia maklum beliau adalah seorang ulama. Dengan gelaran itu, pada pandangan masyarakat terutamanya rakyat Kelantan satu gelaran yang tinggi. Biasanya sebagai ulama ini, mereka dihormati. Selain itu saya lihat sikap Tuan Guru Nik Aziz cukup sederhana. Dalam 20 tahun memerintah Kelantan ini, dia tidak mengambil kesempatan untuk diri sendiri. Inilah perkara pokok yang saya lihat kekuatan Tuan Guru, kerana sifat peribadi beliaulah antaranya Kerajaan PAS Kelantan kekal sehingga hari ini.
Bagaimana dengan dasar-dasar yang diperkenalkan Kerajaan PAS Kelantan seperti cuti bersalin 60 hari, bekerja lima hari seminggu, cuti umum pada hari Jumaat dan pulang awal bulan Ramadhan yang banyak juga ditiru oleh BN. Tidak dinafikan dasar-dasar ini memang diterima dengan baik oleh rakyat Kelantan, kerana ia adalah untuk rakyat dan menjaga kebajikan rakyat. Dasar ini sudah diterima pakai oleh BN. Ini adalah salah satu bukti yang jelas bahawa dasar yang kita buat ini memberi faedah kepada mereka. Sokongan atau penerimaan orang bukan Islam khususnya terhadap dasar penjualan arak dan judi serta apa kesannya kepada mereka sehingga kini? Kita diterima baik oleh orang bukan Islam. Suasana ini tidak menimbulkan sebarang masalah. Di sini mengenai dasar menghadkan penjualan arak dan tidak memberi lesen atau premis judi diterima baik bukan sahaja orang Islam bahkan orang bukan Islam. Mereka boleh terima dengan dasar kita ini. Apabila kita perkenalkan dasar ini mereka menerima dengan reaksi positif, kerana mereka melihat keburukan daripada minum arak serta bermain judi. Sebab itulah Tuan Guru memperkenalkan dasar ini mereka boleh menerima baik. Bagaimana dengan dasar jimat cermat yang ditonjolkan dalam pentadbiran Tuan Guru Nik Aziz, misalnya beliau tidak mengambil elaun-elaun dan diserahkan kepada Tabung Serambi Mekah serta enggan tinggal di rumah rasmi Menteri Besar JKR 10. Tuan Guru tidak mengambil peluang ketika menjadi Menteri Besar Kelantan untuk mencari faedah dan kesenangan. Keistimewaan-keistimewaan yang menjadi hak dia sebagai Menteri Besar, beliau tidak ambil. Jadi inilah antara kelebihan beliau. Dari segi lain beliau boleh menjadi contoh kepada pimpinan lain dan wakil rakyat kerajaan BN yang mengamalkan cara hidup sederhana sekali gus tidak mengambil kesempatan. Selain dasar pembangunan antara material dan kerohanian, bagaimana pula kemajuan Kelantan dari sudut industri dan pelaburan serta pendidikan sekular atau agama? Di Kelantan mana-mana pembangunan fizikal dan rohani pun ada tetapi tumpuan kita yang lebih utama adalah pembangunan rohani yang menjadi asas kepada pembangunan fizikal. Ini kerana kalau kita tidak bangunkan jiwa, pemikiran manusia ini, kemajuan kebendaan ini boleh merosakkan mereka dan masyarakat. Sebab itu kami di Kelantan mengutamakan pembangunan rohani dahulu, supaya rakyat memahami apa peranan mereka (misalnya dalam sudut agama) sebagai khalifah Allah. Bagi mereka yang bukan Islam mereka berperanan dalam kemasyarakatan.
Jadi apabila kita menerima pembangunan kebendaan kita akan tahu memanfaatkan pembangunan itu untuk kebaikan semua pihak. Dari sudut inilah kita tidak kata tumpukan pembangunan rohani dan mengenepikan pembangunan fizikal.
Sejauhmana hubungan Kerajaan PAS Kelantan dengan Istana? Setakat ini Alhamdulillah baik. Kita boleh duduk bersama dan berbincang. Jadi sekarang ini tidak berbangkitlah cerita dengan Istana bukan macam dahulu ketika kita baru berkawan dengan Semangat 46. Apakah wang ihsan ganti kepada royalti itu akan menjadi 'duri dalam daging' kepada Kerajaan Kelantan kerana diselenggarakan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tentunya untuk kepentingan Umno untuk tawan semula Kelantan. Kerajaan Pusat kena beri perhatian dari segi prinsip iaitu Kerajaan Kelantan berhak menerima royalti berdasarkan perjanjian dengan Petronas. Jadi apabila kerajaan bersetuju memberikan wang ehsan bagaimanapun ia tidak dapat menggantikan royalti Petronas itu. Sebab pada pandangan kita royalti ada perkara lain wang ihsan pula perkara lain. Dari segi wang ihsan pula kita tidak boleh hendak timbulkan persoalan sebabnya itu adalah duit Kerajaan Pusat sama ada mereka hendak serahkan kepada JPP atau sebagainya.
Tetapi kita tetap meminta hak kita iaitu royalti. Soal Kerajaan Pusat hendak salurkan wang ihsan melalui JPP itu adalah hak mereka. Royalti adalah hak kita. Bagi kita wang ihsan dan royalti adalah dua perkara yang berlainan.
Pada pandangan Dato', bagaimana Tuan Guru Nik Aziz mengembalikan keyakinan rakyat atau pengundi pada PRU ke-12 lalu hingga menghancurkan impian Dato' Awang Adek untuk menjatuhkan PAS dan membentuk kerajaan BN di Kelantan. Bukan soal mengembalikan keyakinan, masalahnya pada tahun 2004 rakyat Kelantan keliru dengan kempen-kempen Umno kononnya Kelantan mundur, kemudian Umno akan mendapatkan kemajuan sebab itulah rakyat keliru dan menyokong Umno. Ramai yang memberi sokongan kepada Umno di samping memberi peruntukan dan rasuah. Tetapi apabila pimpinan Umno duduk sepenggal, rakyat Kelantan dapati perubahan dari janji Umno itu tidak ada. Janji-janji yang tinggal adalah janji kosong. Kemajuan tidak berlaku.
Dalam masa yang sama kerajaan negeri berjaya memperkenalkan beberapa program yang memberikan kebaikan kepada rakyat. Antaranya, Takaful Kifalah, dan program yang terus sampai kepada rakyat dan dapat dirasai oleh rakyat. Jadi pada 2008 rakyat kembalikan Kerajaan PAS di Kelantan, selain melihat kepimpinan PAS dengan Umno jauh berbeza. Inilah faktor besar, yang membuatkan Umno menyedari kesilapannya.
Pada pilihan raya akan datang pula saya rasa tidak akan ada masalah kalau Kerajaan Kelantan boleh mempertahankan prestasi dan boleh memperkenalkan beberapa program yang memberi faedah kepada rakyat saya percaya tahun 2013 ini pun rakyat akan terus kekal menyokong Kerajaan PAS Kelantan.
Sejauh mana dasar-dasar 20 tahun PAS di Kelantan mempengaruhi lanskap politik Malaysia?
Dasar Kerajaan PAS Kelantan dapat dilihat oleh rakyat negara ini dari segi keadilan, keamanan, dari segi persamaan hak yang tidak diketepikan ideologi, bangsa ataupun agama rakyat. Dengan sendirinya rakyat melihat ada kebaikannya daripada dasar yang kita perkenalkan. Saya lihat orang bukan Islam di luar Kelantan berani menyokong calon PAS dalam pilihan raya kerana mereka melihat Kerajaan Kelantan terbuka melayan rakyat apa sahaja tidak kira agama. Saya nampak dasar Kerajaan Kelantan mula diterima dengan baik seluruh rakyat negara ini. Kalau dulu orang bukan Islam cukup takut apabila kita bercakap soal Islam, tetapi apabila kita memerintah Kelantan hampir 20 tahun rakyat negara ini boleh menilai sendiri kebaikan agama Islam.
Kalau di Kelantan ilmu agama rakyatnya tinggi jadi apabila kerajaan membawa asas agama dalam pemerintahan iaitu amanah, tidak mengkianati rakyat, dan tidak salah guna kuasa. Tidak menjadi masalah untuk mereka terus sokong Kerajaan PAS Kelantan. Bagaimana agaknya keupayaan PAS atau Kerajaan Kelantan sekarang, tanpa Tuan Guru Nik Aziz?
Saya rasa sokongan rakyat kekal. Sebab pemimpin ni, dia datang dan pergi. Cuma mungkin kalau Tuan Guru tidak ada atau berhenti sebelum masanya, rasa tidak puas hati atau reaksi berbeza itu kemungkinan ada. Kalau dasar hari ini kita boleh pertahankan dengan baik apa yang diletakkan oleh Tuan Guru ini saya rasa tidak menjadi masalah jika Tuan Guru akan berhenti apabila sampai masanya. Saya rasa rakyat ni menyokong PAS kerana dasar, cuma Tuan Guru dan pribadinya itu sebagai bonus besar yang menambahkan lagi kepada perjuangan PAS. Saya lihat daripada sudut itulah. Pemimpin ini silih berganti.
Dipetik dari sisipan Fikrah, Harakah Bil 1429 - 23-26 November 2009
|