Kini di bawah kepemimpinan Dzulkifli, beliau berjaya membuktikan kewibawaan SPRM khususnya dalam membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Usaha itu akan terus dipertingkatkan pada tahun ini kerana beliau menegaskan, perbuatan penjawat awam terlibat dalam rasuah merupakan pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

MINGGUAN: Datuk mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam keadaan agak kontroversi. Pelbagai andaian dibuat termasuklah persepsi berhubung ketelusan SPRM, apa pandangan Datuk? 

DZULKIFLI: Saya menyedari tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya merupakan satu amanah yang amat berat dan memahami cabaran getir dan harapan tinggi yang diletakkan kepada saya. Bagaimanapun saya menerima dan melihat tanggungjawab tersebut sebagai suatu wadah perjuangan dan peluang bagi saya untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada negara dan rakyat.

Dalam menerajui SPRM ke arah memerangi rasuah, saya menerima apa sahaja andaian, persepsi negatif mahupun kritikan yang dilemparkan terhadap saya sebagai sebahagian daripada ranjau perjuangan dan jihad saya. Walaupun andaian atau persepsi negatif tersebut tidak mempunyai asas, namun saya tetap berlapang dada dan menjadikan ia sebagai motivasi untuk saya berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tanggungjawab. Dalam menjalankan amanah ini saya sama sekali tidak akan memperjudikan ketelusan dan kebebasan SPRM, sebaliknya akan memastikan SPRM akan kekal menerajui usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil.

Apakah kekangan utama SPRM dalam usaha membanteras rasuah kerana khabarnya SPRM menghadapi masalah dari segi aset dan tenaga kerja sehingga dikatakan menjejaskan proses pendakwaan?

DZULKIFLI: Ramai tidak sedar bahawa keanggotaan SPRM termasuk kakitangan guna samanya di seluruh negara hanyalah sekitar lebih kurang 2,900 orang. Daripada jumlah tersebut pula tidak semua pegawai SPRM melaksanakan tugas bersifat operasi, malah tenaga kerja ini turut dibahagikan untuk melaksanakan tugas pencegahan dan pendidikan. Ia sudah tentunya mewujudkan keterbatasan dalam SPRM melaksanakan tugas penguatkuasaan rasuah di seluruh negara. Selain itu, SPRM juga terkesan dengan kadar pengurangan belanjawan operasinya yang diperuntukkan bagi tahun 2017. Belanjawan operasi SPRM dikurangkan sehingga menjadi yang terendah sejak 2013.

Bagaimanapun saya akan melaksanakan perancangan tersendiri bagi memastikan kemampuan SPRM sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah negara yang ulung akan kekal dipelihara dan dipertingkatkan walaupun dengan wujudnya kekangan-kekangan tersebut.

Saya juga turut yakin dan percaya kekangan seumpama itu tidak akan melemahkan semangat dan menghalang warga kerja SPRM untuk terus berkhidmat penuh kesungguhan dan dedikasi. Saya dan warga kerja SPRM melihat kekurangan ini sebagai satu cabaran, bukannya alasan untuk tidak menjalankan tugas. Komitmen dan kesungguhan warga kerja SPRM dalam menjalankan tugas ini jelas diterjemahkan melalui kerancakan beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak empat bulan lalu serta kepelbagaian aktiviti pencegahan dan pendidikan masyarakat.

Yakinlah SPRM akan kekal menjalankan tugas dan amanahnya dengan ikhlas dalam apa keadaan sekali pun. Justeru, saya berharap rakyat terus memberikan kerjasama, sokongan dan dokongan kepada SPRM dalam menggembleng tenaga ke arah pembanterasan rasuah di Malaysia.

Sejauh manakah seriusnya masalah rasuah dan penyelewengan dalam kalangan penjawat awam, jika ini berterusan tidakkah ia boleh menghakis keyakinan awam kepada sektor awam dan kerajaan?

DZULKIFLI: Saya melihat amalan rasuah dan penyelewangan dalam kalangan penjawat awam merupakan pengkhianatan kepada rakyat dan negara. Segelintir penjawat awam kadangkala lupa mereka seharusnya berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung (guardians) kepada hasil dan kepentingan negara. Sekiranya jenayah rasuah dan penyelewengan ini tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa dalam kalangan penjawat awam, maka ia bukan sahaja boleh menghakis keyakinan rakyat, tetapi juga akan mengakibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat terjejas. Dalam masa sama turut menggugat kestabilan ekonomi, keselamatan dan pembangunan negara.

Oleh itu sejak saya memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya memberi amaran kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa untuk segera menyerah diri atau tunggu tindakan tegas daripada SPRM. Beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak Ogos 2016 membuktikan betapa seriusnya SPRM dalam membanteras dan memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam.

 Pada pandangan saya, kita tidak perlu menunggu sehingga masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam menjadi begitu kritikal dan serius bagi mewajarkan SPRM mengambil tindakan. SPRM perlu mengambil tindakan segera, tegas dan proaktif sebelum barah rasuah dan salah guna kuasa merebak lebih jauh dan merobek keseluruhan integriti institusi perkhidmatan awam itu sendiri. Dalam hal ini saya amat bersyukur kerana Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sering memberi sokongan penuh kepada SPRM untuk terus memburu kalangan penjawat awam yang merosakkan reputasi sektor awam dengan mengamalkan rasuah.

 

SPRM dilihat teragak-agak dalam melakukan siasatan apabila ia berkaitan dengan ahli politik khususnya kerajaan, adakah dakwaan ini benar? Apa komen Datuk?

DZULKIFLI: Ia hanyalah persepsi semata-mata. Sebenarnya dakwaan itu sering dimainkan dan dikitar semula oleh mereka yang tidak ikhlas serta mempunyai agenda tertentu. Ia bukanlah satu perkara atau isu yang baru kerana telah pun diutarakan berulang kali sebelum saya menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya lagi.

SPRM sentiasa bersedia menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang dikemukakan tanpa memilih bulu. Setiap maklumat atau laporan akan disiasat dan diteliti kesahihannya bagi menentukan sama ada ia mempunyai asas dan elemen rasuah sebelum SPRM membuka kertas siasatan dan mula menyiasat kes tersebut secara lebih mendalam.

SPRM tidak pernah dan tidak gentar menjalankan tugas menurut batas undang-undang. Jika hasil siasatan mendapati mana-mana individu terlibat dalam perbuatan rasuah dan ada bukti-bukti mencukupi, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu.

 

Apakah strategi dan pendekatan dalam usaha SPRM menjayakan Tahun 2017 sebagai tahun memerangi rasuah?

DZULKIFLI: Kita akan melipatgandakan aktiviti merakyatkan SPRM melalui pelbagai program pencegahan dan pendidikan masyarakat mengenai kesan dan bahaya gejala rasuah dan salah guna kuasa. Pada masa sama tahun 2017 juga akan memperlihatkan SPRM menggandakan tindakan operasi dan penguatkuasaan bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa dengan lebih agresif lagi kerana “I am a no nonsense man when it comes to corruption”.

Tahun 2017 juga akan menjadi tahun bahawa SPRM akan terus mengotakan janji-janjinya. Tiada lagi laungan amaran akan diberikan kepada mereka yang masih hanyut di dalam ketamakan rasuah dan salah guna kuasa. Fokus operasi dan penguatkuasaan akan diberikan kepada sektor kritikal negara seperti perkhidmatan awam khususnya agensi-agensi penguatkuasaan, badan-badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan serta negeri, syarikat yang berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta, khususnya institusi kewangan dan perbankan.

Sebagai usaha berterusan ke arah memartabatkan imej negara, SPRM menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi memberi fokus kepada perencanaan strategi secara lebih menyeluruh dan teratur bagi menambah baik kedudukan ‘Corruption Perception Index’ (CPI) Malaysia. Jawatankuasa itu akan mengkaji dan merangka pelan ke arah memastikan kedudukan CPI Malaysia bagi tahun 2016 dan tahun-tahun seterusnya akan senantiasa diperbaiki. Adalah menjadi harapan saya agar inisiatif ini akan menjelmakan hasil serta impak positif kepada rakyat dan negara.

Pendekatan ini selaras dengan hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi ‘mesra rakyat dan pada masa yang sama digeruni perasuah’. Tindakan ini direncanakan dengan keazaman untuk merakyatkan SPRM dan memperoleh sokongan dan keyakinan masyarakat supaya mereka merasa selesa untuk bersama dan mendekati SPRM. Ia memandangkan isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat hampir dan seiring dengan aspirasi rakyat.

Setakat ini bagaimanakah persepsi dan sambutan orang awam terhadap usaha SPRM dalam membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam kerana ada yang berpandangan SPRM hanya ‘berani menyentuh’ golongan yang dianggap ‘ikan bilis’ bukan ‘jerung’?

DZULKIFLI: Dalam perjuangan memerangi rasuah, tidak wujud istilah ‘ikan bilis’ atau ‘jerung’. Anai-anai atau nyamuk yang kecil sekiranya tidak dibasmi atau dicegah akan turut membawa kerosakan, wabak dan kemudaratan besar kepada masyarakat. Justeru, saya akan memastikan jentera SPRM dilancarkan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira personaliti atau jumlah terlibat. Rasuah tetap rasuah dan ia satu jenayah keji yang harus diperangi habis-habisan.

 Sejak saya mengambil alih teraju SPRM, masyarakat boleh menilai keikhlasan SPRM menjalankan tugas berdasarkan kekerapan operasi ke atas individu berjawatan tinggi, berkedudukan dan mempunyai gelaran. Jumlah wang dan harta rampasan mencecah nilai ratusan jutaan ringgit. Oleh itu jelas istilah perbandingan ‘ikan bilis’ atau ‘jerung’ sudah tidak sesuai lagi dipakai.

Sejak kebelakangan ini, saya amat merasai peningkatan sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM. Keyakinan ini diperlihatkan melalui peningkatan penglibatan dan kehadiran masyarakat melalui program SPRM bersama rakyat serta melalui peningkatan jumlah mereka yang tampil ke hadapan untuk berkongsi maklumat dan aduan. Situasi ini memberi semangat kepada SPRM untuk terus istiqamah melaksanakan tugas dan amanah memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Namun demikian, ingin saya nyatakan bahawa tanggungjawab dan tugas untuk memastikan negara bersih dan bebas daripada sebarang gejala rasuah bukanlah tugas SPRM semata-mata, sebaliknya merupakan tugas kita semua sebagai rakyat Malaysia. Pendek kata, masyarakat perlu benci rasuah, harus tolak rasuah dan bersama-sama SPRM memerangi rasuah.

  Usaha pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa akan sia-sia jika rakyat daripada segenap lapisan tidak bersama SPRM. Lantaran itu, saya menggesa seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira usia, agama, bangsa dan ideologi agar terus kekal memberikan kerjasama dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM dalam perjuangan berterusan bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

 

 Apakah nasihat Datuk kepada penjawat awam, orang ramai dan mereka yang terlibat dalam rasuah?

DZULKIFLI: ‘Enough is enough, please stop. No more warnings will be given’. Operasi demi operasi secara berterusan akan dilaksanakan secara konsisten selepas ini dan SPRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang masih degil terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. Saya juga ingin turut memberikan peringatan kepada penjawat awam, khususnya dalam kalangan pengurusan tertinggi yang sering melancong keluar negara semata-mata untuk bermain golf.

SPRM melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai pergerakan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh segolongan penjawat awam ini. Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta-merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.

Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka untuk memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara kita. ‘They are not professional golfers’ dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf.

Kami turut mempunyai maklumat bahawa individu-individu terbabit juga akan disertai oleh golongan tertentu, yakni mereka yang berkepentingan, setibanya mereka di sana. Walaupun kadangkala individu-individu terbabit menunjukkan bahawa perjalanan mereka dibiayai dengan hasil pendapatan sendiri namun sebaik-baik sahaja tiba di sana, mereka akan disambut oleh golongan-golongan tertentu ini bagi membiayai segala perbelanjaan lain termasuklah perbelanjaan untuk membeli-belah dan sebagainya. ‘So again I repeat, stop immediately all this activities before it is too late!’.