Yang membezakan pengumuman kenaikan kali ini ialah tidak ada lagi alasan ‘kesihatan’ diberikan. Kalau sebelum ini gaya hidup dan trend kesihatan diri rakyat Malaysia seperti obesiti, diabetes dan orang Malaysia suka makan gula, dijadikan salah satu punca kenaikan. Kali ini alasan sedemikian tidak disebut dalam ke­nyataan akhbar yang cukup ringkas itu. Juga tidak ada kata-kata amaran daripada kementerian yang sama bahawa ‘tindakan tegas’ akan dikenakan ke atas restoran dan kedai makan yang cuba menaikkan harga barangan makanan ekoran harga baharu gula ini.

Walaupun pengumuman ini berlangsung dalam keadaan ‘tenang’ kelmarin, sehari sebelumnya te­lah tular di media-media sosial bahawa harga gula akan naik. Beberapa portal berita turut melaporkan kenaikan itu dengan memetik kenyataan Presiden Persatuan Pe­niaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng yang menerima pemakluman berhubung perkara itu menerusi aplikasi WhatApps.

Bagaimanapun kementerian terlibat memberi jaminan kerajaan masih mengawal harga tersebut pada paras paling minimum jika dibandingkan dengan kenaikan di negara-negara lain. Syukurlah kita tidak tinggal di negara lain. Kalaulah kita tinggal di negara ‘tersebut’ sudah tentu kita terpaksa membeli gula, petrol, minyak masak dan ikan kembung pada harga yang lebih tinggi lagi!

Kenaikan mungkin hanya ­me­libatkan kadar 10 sen tetapi dalam keadaan kos sara hidup terutama barangan keperluan harian pengguna yang naik, dan ­terus naik setiap hari kesannya tetap ada. Golongan miskin, kumpulan berpendapatan rendah dan sederhanalah yang ­paling terasa. Mereka yang mencari nafkah dengan menjual kuih-muih secara kecil-kecilan di gerai tepi jalan atau di pasar-pasar malam apatah lagi. Dengan pendapatan yang tidak seberapa dan tidak menentu, harga baharu itu kepada kumpulan ini tetap membebankan.

Sebelum ini pun mereka sudah berhadapan dengan peningkatan kos bahan-bahan makanan dan kos sara hidup lain seperti harga ikan, minyak masak, petrol dan beberapa perkhidmatan lain. Ini belum lagi diambil kira isu kekurangan bekalan bahan-bahan tersebut yang kerap berlaku di pasaran setiap kali ada pengumuman kenaikan atau rasionalisasi harga sesuatu barang. Janganlah sehari dua lagi para pengguna dikejutkan dengan cerita dan berita tentang kekurang­an bekalan gula pula dalam pasaran akibat pembelian panik oleh para pengguna.

Seperkara lagi setiap kali berlaku kenaikan harga gula atau susu atau apa sahaja bahan yang berkaitan pembuatan makanan, para peniaga kedai makan dan pengusaha restoran bagai tidak sabar-sabar lagi menaikkan harga makanan dan minuman masing-masing. Ya, mereka berbuat demikian kerana kononnya ada alasan kuat. Kos kenaikan 11 sen itu dilampiaskan kepada para pengguna dengan cara menaikkan harga.

Ada juga sesetengah restoran atau kedai makan yang ‘tidak ter­gamak’ menaikkan harga ma­ka­nan. Mereka mengambil pen­de­katan mengecilkan kadar hi­­dangan yang dijual. Kalau dahulu sekeping roti canai, boleh di­habiskan de­ngan lima kali suap, kali ini tiga kali suap sahaja. Ada juga restoran yang ‘bersabar’ dan ‘berhemah’ tidak menaikkan harga makanan ma­sing-masing secara drastik. Mereka menunggu sehingga isu reda dan sejuk, secara diam-diam dan perlahan-lahan harga makanan dan minuman dinaikkan. Kepada yang suka atau terpaksa makan di luar bersedia dan pasrahlah dengan keadaan ini.

Apa yang berlaku adalah realiti setiap kali harga barang naik. Walaupun tindakan penguatkuasaan dijalankan tetapi kenaikan tetap berlaku. Tindakan penguatkuasaan juga kadang kala tidak menyeluruh disebabkan beberapa fak­tor antaranya kekangan jumlah anggota dan tidak ada maklumat kerana tidak terdapat aduan daripada pengguna. Tindakan dikenakan berdasarkan aduan orang ramai dan selain ‘pemeriksaan mengejut.’ Masalahnya, operasi pemeriksaan mengejut pula banyak kali bertukar menjadi ‘tinjauan mesra sambil bertanya khabar’ sahaja apabila disertai ‘orang-orang besar’ kementerian atau agensi terlibat.

Seperti disarankan oleh ba­nyak persatuan pengguna, orang ramai perlu menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna untuk mengekang perbuatan melampau segelintir peniaga kedai makan dan restoran yang berbuat sedemikian. Maklumat yang disalurkan oleh orang ramai sudah pasti dapat membantu pihak penguatkuasaan bertindak. Sebenarnya tidak sukar mengesan kenaikan harga di kedai-kedai makan atau restoran. Lihat sahaja kepada paparan tanda harga makanan, kalau tidak sama seperti yang dibayar bermakna ada kenaikanlah. Bagaimanapun janganlah dilaporkan kepada pihak berkuasa jika harga kuih-muih yang dijual makcik dan pakcik gerai tepi jalan mengalami sedikit kenaikan. Mereka hanya mencari pendapatan 10, 20 ringgit untuk meneruskan hidup!-U/M