Oleh itu, tidak salah jika UMNO mengadakan sambutan secara besar-besaran sempena ulang tahun parti itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tarikh berkenaan. Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh dalam kenyataannya memberitahu, le­bih 140,000 ahlinya dijangka menyertai perhimpunan menyambut ulang tahun yang dianggap terbesar dalam sejarah UMNO.

Menurut Abdul Rauf, sambut­an kali ini akan memaparkan kese­pakatan UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebagai parti pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Apa pun, dalam sejarah perjuangan UMNO, bukan sedikit badai melanda dan bukan kurang cabaran yang silih menduga. Bukan mudah pula melerai kerumitan yang terpaksa dilalui oleh parti itu. Sehingga ada kalanya, permasalahan dalaman parti yang bangkit bagaikan tali yang kusut tersimpul. Bayangkan, UMNO pernah dibatalkan pendaftarannya. Kira-kira setahun lalu, UMNO ‘digelodakkan’ oleh beberapa pemimpin tertinggi dalaman parti yang mencetuskan sengketa tidak sekata dengan pucuk pimpinan yang ada, dan pelbagai cabaran lagi.

Biarlah segalanya tercatat dalam sejarah muram UMNO. Namun, hakikatnya UMNO memiliki kekuatan tersendiri. Kepe­mimpinan UMNO matang dalam menghadapi sebarang suasana dan keadaan. Majoriti penyokong UMNO sentiasa mengutamakan kestabilan parti. Lalu, UMNO tetap segar dalam perjuangannya demi melaksanakan misi memelihara dan mempertahankan kesucian Islam dan hak orang Melayu, selain berpadu erat, memenuhi kepentingan semua kaum dalam negara ini.

UMNO dapat membuktikan keupayaan dan keberkesanan pera­nannya sebagai peneraju utama pemerintahan negara bersama rakan komponen BN. Gagasan BN sentiasa menguta­makan prinsip-prinsip konsensus, kesederhanaan, inklusif dan adil saksama. Hasilnya, tiada mana-mana pihak merasa dinafikan hak dan kebebasan, malah segala kemakmuran dan kesejahteraan dinikmati bersama.

Antara rahsia UMNO kekal teguh di persada politik tanah air adalah kerana sikapnya yang sentiasa terbuka dan berterus terang. Bagi UMNO, perjuangannya adalah jelas tanpa tersembunyi atau tersirat sebarang agenda sulit sehingga boleh mencurigakan mana-mana pihak. UMNO terbuka dalam menzahirkan asas perjuangannya. Setiap warga negara Malaysia faham dan menerima hakikat perjuangan ini.

Kenyataannya, konsep ketelusan UMNO membuatkan setiap ahli mudah menghayati secara mendalam falsafah perjuangan parti. Mereka tahu misi dan hala tuju parti. Demikian juga dengan rakan sepakat dalam BN. Mereka saling faham dan menerima kerangka asas kenegaraan. Dan yang pasti, UMNO bukan parti milik mana-mana keluarga atau dinasti.

UMNO lahir dengan kesepakatan tulus, memperjuang kemerdekaan bersama-sama rakan yang mewakili kaum Cina dan India pada waktu itu. Ketiga-tiga tokoh, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan telah ­memadamkan perkiraan Bri­tish yang menyangka ketiga-tiga kaum itu tidak boleh bersatu, sebagaimana disyaratkan jika mahu menuntut kemerdekaan Malaya ketika itu. British memasang harapan untuk menjajah tanah air ini dengan lebih lama.

Demikianlah harga kesepaka­­t­an yang dibina oleh tokoh-tokoh lampau. Mereka saling akur dan tidak bercita-cita besar sehingga melampaui struktur asas yang ada, yakni berpandukan Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama. Penubuhan Perikatan ketika itu terus berkembang menjadi gagasan BN, membina wadah pakatan yang lebih besar, namun tetap berpijak pada asas struktur politik yang sama.

UMNO bersama-sama rakan kongsi dalam BN bukan terbentuk hanya untuk menghadapi pilihan raya. Bukan juga sekadar himpunan pihak-pihak yang kecewa atau serpihan dari mana-mana ranting parti yang bersele­rak dalam negara. BN terbina demi menjaga hak dan ­kepentingan semua kaum secara konsisten, bukan bermusim. Apa yang terbukti, sejak merdeka sehingga kini, BN mampu membawa pemba­ngunan, kemajuan, kemakmur­an dan kestabilan untuk rakyat dan negara.

Cabaran bagi UMNO dan BN kini adalah terpaksa menghadapi saingan kurang sihat de­ngan pihak pembangkang yang cuba membentuk acuan luar biasa dan asing dari asas pembinaan negara bangsa yang selama ini terlaksana dengan harmoni dan sejahtera. Ada pihak cuba merubah kerangka asal, asas pe­nyatuan yang menjadi pegangan hidup rakyat pelbagai kaum dan keturunan sejak sekian lama di negara ini.

Kecenderungan besar kala­ngan pihak yang dimaksudkan ini adalah untuk mempengaruhi generasi muda. Mereka berharap gene­rasi ini mengetepikan sejarah asal, terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia. Mereka mahu membawa orde baharu yang meletakkan perjuangan kebebasan tanpa batas, termasuk menafikan hak-hak tertentu yang sedia ­termeterai. Namun, program ­transformasi UMNO telah berjaya menarik minat semakin ramai anak-anak muda menyertai parti itu.

Syukur, rakyat semakin memahami keadaan. Sementara gene­rasi muda juga tidak terus terpesona dengan segala dakyah dan tohmahan. Gagasan baharu kerajaan di bawah program Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi wadah baharu bagi seluruh rakyat, khususnya golongan muda untuk melihat dan melangkah jauh ke hadapan, ke era lebih maju, lengkap dan selari dengan tuntutan perkembangan semasa. Semoga UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.