Baik Pakatan Harapan dikepalai DAP serta PKR dan parti penderhaka Pas iaitu PAN, waima UMNO sendiri, resolusi Pas dalam muktamar itu akan menjadi titik tolak penting ‘anjakan’ undi dan persa­ingan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Bagaimanapun, dalam sehari dua ini, muktamar yang dikira paling lama berjalan dalam sejarah Pas itu telah menyerlahkan bisa Pas.

Berlangsung di Kompleks Pas di Kota Sarang Semut, Kedah, kelihatannya sang semut yang dulunya diperkotak-katikkan DAP dan ibarat melukut di tepi gantang dalam Pakatan Rakyat, kini bertukar rupa kepada ayam jantan. Di sebalik menyerlahkan wajah sebenar Pas kepada DAP, sesuatu yang menarik adalah ­perancangan Pas untuk masuk ­gelanggang PRU-14 dengan bertanding di 80 kerusi majoriti Melayu.

Jika dinilai dari aspek pendirian Pas yang menghambur segala buah tangan silat dan kecamannya terhadap DAP, sudah terang lagi bersuluh hati Pas tidak dapat dipujuk lagi oleh DAP dan suku sakatnya dalam Pakatan Harapan. Dan fokus Pas selepas ini tidak sahaja 80 kerusi Parlimen tadi tetapi menyasarkan lima negeri iaitu Terengganu, Kedah, Perlis, Selangor selain Kelantan.

Persoalannya, adakah ini menguntungkan Pas atau memecah­belahkan orang Melayu? Selain DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang panik dengan pendirian bersaing Pas ini, parti manakah lagi yang mungkin diulit kebimba­ngan? Hakikatnya tidak semua kerusi memerlukan persaingan tiga penjuru. Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tempoh hari ini bertepatanlah de­ngan taktik seumpama ini, tetapi bagaimana pula dengan kerusi-kerusi Melayu lain?

Umpamanya, kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di kawasan Felda. Kalau ditimbang-timbangkan, kelihatannya kali ini seba­nyak 54 kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN di Felda akan menjadi rebutan. Saingan pasti se­ngit. Undi masyarakat Felda diakui memainkan peranan besar untuk kemenangan parti politik yang bertanding. Kehadiran generasi baharu kelihatan sudah mengubah iklim politik peneroka. Ini menjadikan kawasan Felda tidak boleh lagi dianggap hak mutlak mana-mana parti.

DAP sendiri begitu berminat sekali dengan kerusi-kerusi di Felda. Dalam satu mesyuarat parti itu di Pulau Pinang awal tahun ini, dilaporkan parti itu ‘me­ngarahkan’ PPBM yang diketuai pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi tumpuan khas kepada kawasan Felda. DAP pada masa sama tidak lagi sekadar bertumpu di bandar, malah memfokuskan kawasan separa bandar dalam PRU paling getir kelak. Jika tidak diambil kira minat parti-parti politik yang masih ada orang Melayu di dalamnya seperti PKR, PAN, PPBM apatah lagi Pas dan UMNO, apakah kawasan Felda masih menjadi benteng pertahanan ampuh untuk orang Melayu?

Selain memiliki satu perempat daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen, tanah rancangan orang Melayu itu turut mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka. Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar, majoriti di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.

Andai kata Pakatan Harapan berupaya menambah 23 kerusi parlimen di kawasan Felda, maka berakhirlah era pemerintahan orang Melayu di situ. Ini mengambil kira daripada 89 kerusi pakatan pembangkang sedia ada ditambah 23 lagi kerusi, sekali gus meraih majoriti mudah 112 kerusi.

Di Pahang sahaja, 12 daripada 14 kawasan parlimennya mempunyai penempatan Felda. Di kawasan DUN negeri itu pula 27 daripada 42 kawasan adalah Felda. Kawasan Felda di Johor juga dikatakan dalam kedudukan 50-50. Pembangkang menyasarkan 29 kerusi selepas mengejutkan BN di sana dengan kemenangan 19 kerusi DUN empat tahun lalu.

Isu perumahan generasi ke­dua, himpitan kos sara hidup selain masalah penangguhan pembayaran pembelian sawit kepada peneroka antara yang perlu ditangani segera. Meskipun banyak pencapaian yang baik diraih Felda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Pakatan Harapan yang diketuai induknya DAP tidak akan berpuas hati atau mengakuinya. Gerakan-gerakan mencemar reputasi Felda ­semakin giat diatur untuk menghancurkan perpaduan peneroka dan generasi muda Felda.

Atas sebab-sebab ini, bukan sahaja Dr. Mahathir dan Presiden PAN, Mohamad Sabu menunjukkan minat luar biasa pada kerusi-kerusi Felda ini, malah PKR yang diketuai Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pun dikatakan mahu menyelinap masuk Felda.

Berdasarkan rekod pilihan raya umum lalu, penolakan warga Felda terhadap sekutu pembangkang menyebabkan harapan musnah dan hancur lebur. Sementelah pula, bila mana terdapat pihak yang menggelar diri mereka ‘Anak’ sering dipertikaikan warga Felda apabila mereka sepi dan membisu dalam mem­bela nasib warga Felda Sahabat.

Kemenangan beberapa kes di mahkamah yang berpihak kepada Felda turut menaikkan kembali imej Felda. Antaranya, pada 13 Februari lalu Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Sdn. Bhd. beroleh ganti rugi RM70,000 setelah memenangi kes saman mereka terhadap Presiden PKR dan dua orang lagi.

Namun, kadang kala ada ­peneroka yang terhasut sehingga menyaman Felda dan akhirnya kalah. Ini termasuklah kes lapan peneroka yang diarahkan membayar ganti rugi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Felda, waima apa pun mesti kekal kepada terasnya, orang Melayu. Dan bukannya jatuh ke tangan Pakatan Harapan yang berketuakan DAP.

Dan sekali lagi persoalan yang mahu dibangkitkan oleh penulis: Berbaloikah atau untungkah jika Pas ‘membenarkan’ dirinya menyertai gelanggang tiga penjuru di kala musuh sebenar mereka adalah PKR, PAN dan PPBM? Lebih-lebih lagi jika kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang disasarkan Pas adalah kawasan Felda.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.