Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini dijulang setinggi awan hanya diberi peranan sebagai penasihat. PPBM dalam penampilannya memang tidak pernah terlihat mahu mengiktiraf Anwar yang dipenjara kerana meliwat mahupun isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Yang diketahui parti ini sekadar mahu menggunakan Anwar sebagai batu loncatan untuk menjadikan PPBM nampak gah. Anwar juga tidak diletakkan sebagai calon Perdana Menteri, di luar persetujuan Pakatan Harapan selama ini. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mengumumkan tidak menolak jika dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri, disenaraikan sebagai pengerusi ma­nakala Wan Azizah sebagai timbalan pe­ngerusi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula diletakkan sebagai presiden ma­nakala Datuk Seri Azmin Ali sebagai tim­balan presiden. Pemimpin tertinggi DAP dan PAN, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pula hanya diberikan peranan sebagai naib presiden. Pakatan Harapan yang sedang mempersiapkan diri untuk didaftarkan sebagai satu gabungan juga atas desakan PPBM, nampaknya benar-benar mahu tampil berbeza. Ini sesuatu yang di luar kebiasaan.

Struktur baharu yang digembar-gemburkan itu di­kha­bar­kan satu stra­tegi untuk mem­bentuk tsunami Me­layu. Struktur kepemimpinan yang diharapkan dapat meyakinkan orang Melayu terutama di luar bandar memilih mereka.

Teorinya, setelah hampir berjaya menggulingkan BN dengan tsunami Cina pada PRU-13, pimpinan PPBM percaya kali ini mereka boleh mencetuskan pula tsunami Melayu.

Caranya adalah dengan meletakkan pemimpin PPBM sebagai peneraju Pakatan Harapan selain calon Perdana Menteri.

PPBM yang terasnya Melayu percaya mereka boleh memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan. Parti serpihan UMNO ini benar-benar mahu menjadi seperti UMNO, menjadi tunjang kepada Pakatan Harapan walaupun hanya berbekalkan kerusi milik parti lama.

Tersirat

Realitinya termasuk yang disaksikan di depan mata, PPBM serabut dengan masalah dalaman. PPBM mengisytiharkan berjaya menembusi kubu-kubu UMNO tetapi pimpinan di peringkat negeri dan bahagian seperti hilang punca. Mereka tidak lebih hanya syok sendiri.

Di Perak dan Negeri Sembilan keadaannya lebih buruk. Belum pun dikenal masyarakat setempat, pimpinan sudah melepaskan jawatan. Sebahagiannya kerana tidak sanggup menghadapi politiking dalaman.

Di kebanyakan negeri pula, sesama pemimpin bercakaran berebut jawatan. Masing-masing mahu menjadi ketua dan kelak dipilih sebagai calon pilihan raya walaupun sedar tidak mempunyai penyokong.

Entah disengaja atau tidak, bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai DAP mengeluarkan kenyataan ‘penuh tersirat’ agar DAP, PKR dan PAN menerima sahaja cadangan struktur baharu daripada PPBM itu.

Kataya, PKR boleh jadi bijak dan membenarkan PPBM memimpin PRU-14 atau terus meratap sugul. DAP dan PAN pula kata Zaid, "boleh jadi realistik atau mereka boleh terus tenggelam dalam fantasi. Ini hari penentuan untuk mereka juga.”

Dan khabarnya, cadangan struktur itu tidak dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan. Mereka tetap bertegas dengan idea awal iaitu Wan Azizah sebagai Presiden jika Pakatan Harapan menang pilihan raya.

Kita lihatlah dalam beberapa hari ini senarai muktamad pimpinan Pakatan Harapan yang bakal diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan. Kehendak siapakah yang akhirnya dipenuhi? Apakah Pakatan Harapan diketuai DAP atau Pakatan Harapan diketuai PPBM?

Jawapannya sudah dapat diagak. Resmi Pakatan Harapan memang begitu. Suka bertelagah sesama sendiri dan sentiasa diselubungi dengan kontroversi. Ada sahaja yang tidak kena. Walaupun rumah sudah diisytiharkan siap, pahat masih sahaja berbunyi.

Kemungkinan paling hampir yang akan berlaku ialah Pakatan Harapan sebaliknya yang bakal digulung tsunami. Setelah Pas tidak lagi bersama mereka sebaliknya membentuk blok ketiga, pakatan ini tidak lagi tampil meyakinkan. Persaingan tiga penjuru atau lebih seperti diakui oleh Pakatan Harapan akan merugikan mereka sendiri. Sebab itu, mereka bekerja siang dan malam mahu memalitkan Pas sebagai menyokong UMNO hanya kerana parti itu tidak mahu bersama Pakatan Harapan.

DAP pula kini dalam kedudukan sukar untuk melepaskan label sebagai anti-Islam dan anti-Melayu. Pengalaman Pas memberi pengajaran besar kepada orang Islam agar berhati-hati dengan parti yang satu ini.

Cendekiawan Melayu pula semakin cenderung mencurigai DAP. Mereka ada fakta yang sukar dipatahkan. Sudah ada ilmuwan Melayu tampil untuk mendedahkan secara terbuka gerakan-gerakan tersembunyi DAP.

Mereka pula, ilmuwan Melayu ini tidak sedikit pun gentar dengan ugutan-ugutan saman yang biasa dibuat oleh pemimpin DAP dan Pakatan Harapan. Akhirnya, undi Melayu yang dikejar tsunami yang mereka dapat.-U/M