Krisis demi krisis berjaya diatasi kerana majoriti pe­mimpin UMNO di peringkat Pusat dan akar umbi berpegang teguh kepada prinsip dan cogan kata Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat.

Krisis pertama yang dihadapi UMNO adalah bertaraf kecil ketika diadakan mesyuarat agung kedua di Ipoh pada 29 dan 30 Jun 1946 yang dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Abdul Aziz. Perkaranya untuk menentukan rupa corak Bendera UMNO.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mencadangkan agar digunakan bendera Sang Saka Merah Putih sama seperti bendera Indonesia manakala pejabat urusetia UMNO memilih bendera merah putih tetapi mempunyai bulatan kuning dan keris terhunus berwarna hijau.

Makna kepada bendera cadangan pejabat urusetia itu ialah putih di sebelah bawah bermakna ‘Bersih’, merah bermaksud ‘Berani’, bulatan kuning bermakna ‘Kemuliaan Raja-Raja Melayu’ yang menjadi pendukung kuat kepada penubuhan UMNO, manakala keris berwarna hijau bermaksud gabungan ‘Agama Islam dan Pusaka Melayu’ iaitu satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan.

Disebabkan perbezaan pendapat ini, tokoh PKMM Ahmad Boestaman dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) membuat keputusan keluar parti. Namun perlu difahami bahawa jurang perbezaan di antara PKMM dengan UMNO adalah lebih besar daripada berbeza pendapat dalam pemilihan bendera. PKMM sebagai pewaris parti politik radikal Kesatuan Melayu Muda yang diharamkan ketika zaman Jepun lebih cenderung untuk Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia dalam satu pakatan wilayah lebih besar dikenali sebagai Melayu Raya (the Greater Malays).

Krisis pertama yang paling besar melanda UMNO adalah pada 1950 apabila Dato Onn Jaafar mencadangkan agar membuka pintu keahlian kepada bukan Melayu atau dibubarkan serta ditubuhkan sebuah parti baharu United Malayan National Organisation yang dianggotai juga oleh orang bukan Melayu. Pada masa sama, Dato Onn mencadangkan juga Rang Undang-Undang Kerakyatan baharu memberi ruang orang Cina dan India yang masih belum bertaraf warganegara Persekutuan diterima sebagai warganegara.

Kedua-dua idea Dato Onn itu dikecam hebat oleh para perwakilan dalam mesyuarat tahunan UMNO di Kuala Lumpur pada 10 dan 11 Jun 1950. Namun cadangan kedua beliau untuk mengadakan undang-undang baharu kerak­yatan diterima dan kemudiannya dipersetujui juga oleh Majlis Raja-Raja. Cadangan untuk membuka keanggotaan UMNO kepada bukan Melayu bagaimanapun ditolak. Ini membawa kepada peletakan jawatan Dato Onn sebagai Yang Dipertua UMNO yang pertama tanpa pengganti.

Lantaran, ketiadaan Dato Onn dengan watak kepimpinannya yang berkarisma lagi berani menjadikan UMNO seperti anak ayam kehilangan ibu. UMNO ibarat sebuah bahtera tanpa nakhoda. Sedangkan pelayarannya baru bermula dan perjalanannya masih lagi jauh.

Walaupun Dato Onn bersetuju untuk kembali kepada UMNO selepas dipujuk tetapi seusai Persidangan Agung di Kuala Kangsar pada 25 dan 26 Mac setahun kemudian, beliau secara muktamad meletak jawatan untuk me­nubuhkan parti baru, Parti Kemerdekaan Malaya yang pelbagai etnik keahliannya. Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. UMNO berjaya memasuki fasa kedua perjalanan sejarah politiknya di bawah pimpinan gandingan mantap Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sehingga membawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Di sebaliknya, eksperimen Dato Onn dengan parti pelbagai etnik anggotanya menemui kegagalan dan tidak mendapat sambutan. Lalu, beliau menubuhkan pula Parti Negara yang pro-Melayu tetapi juga tidak mendapat sambutan kerana bangsa Melayu sudah semakin yakin dengan perjuangan UMNO.

Pelayaran UMNO terus melalui riak-riak kecil sehingga sekali lagi terpaksa menempuh gelombang besar peristiwa berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969. Pada tahap ini, ujian besar terpaksa dipikul oleh Timbalan Presiden UMNO, Tun Razak untuk menyelesaikan perbalahan antara kaum itu.

Malapetaka paling besar dalam sejarah Malaysia merdeka itu mampu diselesaikan dengan penuh bijaksana melalui pakatan baharu parti-parti politik berasaskan etnik melalui formula Barisan Nasional yang terus utuh dan lestari hingga ke hari ini. Ia mencipta rekod gemilang kerana belum berjaya ditumbangkan sejak negara mencapai kemerdekaan 60 tahun lalu.

Satu lagi dugaan besar dihadapi oleh UMNO ketika diadakan pemilihan pucuk pimpinan parti dalam Perhimpunan Agung UMNO 1987, yang pernah diistilahkan oleh penganalisis politik Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin sebagai the battle royale in UMNO.

Gandingan Team B yang amat kuat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah bersama-sama (Tan Sri) Musa Hitam, menentang Team A pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Ghafar Baba membawa UMNO bukan sekadar retak atau di ambang perpecahan tetapi terbelah dua. Kedua-dua pasukan sama handal dan kuat sehingga sukar diduga pasukan mana yang mempunyai kelebihan dan akan menang.

Dalam suasana penuh debaran, keputusan yang diumumkan hampir lewat malam telah memihak kepada pasukan regu Team A pimpinan Dr. Mahathir dan Ghafar Baba tetapi dengan kemenangan majoriti paling tipis dalam sejarah pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO iaitu sebanyak 43 undi majoriti.

Krisis dan keretakan itu berlanjutan apabila Team B menubuhkan parti baharu Semangat 46 yang membawa kepada sebahagian kerusi milik UMNO dimenangi oleh parti itu pada PRU 1990. Namun “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”, setelah beberapa tahun berada di luar UMNO maka saf parti Semangat 46 diketuai Tengku Razaleigh rujuk semula dengan UMNO dan diterima dengan berlapang dada, “ibarat gagak pulang ke benua” dan “ibarat pinang pulang ke tampuk”.

Penulis tidak menganggap cabaran Dr. Mahathir untuk Najib meletakkan jawatan sebagai satu krisis besar. Begitu juga ketiadaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO. Malah UMNO tidak pun tergugat dan terpalit, apa lagi gementar. Hari demi hari, “ribut dalam secawan kopi” itu semakin reda.

Kemenangan dalam empat pilihan raya kecil yang memihak kepada BN meletakkan UMNO dan BN dalam keadaan selesa. Malah, UMNO dan BN semakin yakin akan masa depannya apabila sudah tumbuh benih persefahaman dengan Pas. Semoga keadaan ini akan terus terpelihara dan berkembang ke tahap tahaluf siasi. Wallahualam!

DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan bekas Ahli Parlimen Gerik.