Header

MCA mohon bantuan DAP halang hudud


Ketua Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen gusar anggota Parlimen BN dari Umno akan menyokong usul membenarkan pelaksanaan hudud di Kelantan yang mungkin diusulkan PAS.

"MCA sudah berulang kali memberi amaran sekiranya PAS membentangkan rang undang-undang untuk membenarkan hudud, MP Umno dikhuatiri tidak akan membangkangnya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Chai, ini kerana perbincangan tentang undang-undang hudud di Terengganu sewaktu ia diperintah PAS juga tidak pernah dibantah Umno.

"Ia pernah berlaku di Terengganu sewaktu PAS menjadi kerajaan negeri, dan sekarang saya risau ia akan berlaku lagi," katanya.

Justeru, MCA memohon bantuan DAP untuk memastikan PAS tidak membentangkan usul itu di Parlimen bagi memberi laluan kepada pelaksanaan di Kelantan.

Dakwa Chai, ini kerana DAP bertindak mempertahankan PAS sebagai sebuah parti yang kini lebih terbuka dalam kempen pilihan raya umum lalu.

"Sekarang apabila PAS secara terbuka mengumumkan akan menggesa MP mereka untuk membentangkan usul bagi membenarkan negeri Kelantan melaksanakan hudud, semua 38 orang MP DAP perlu tegas dan bertanggungjawab terhadap perkara ini," kata Chai.

MP Ketereh dari BN, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menyokong usul hudud Kelantan dengan syarat sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat tidak membantah cadangan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, juga telah menyatakan kesediaannya untuk menyokong usul tersebut.

Sumber : Malaysiakini




No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.