Header

PAS tetap bersama orang bukan Islam - Iskandar


Seorang pemimpin kanan PAS menafikan dakwaan bahawa kerjasama parti itu dengan Umno akan menyebabkan negara ini ditadbir oleh sebuah kerajaan ekstremis.

Naib Presiden PAS, Iskandar Samad berkata kenyataan itu mungkin berpunca daripada kebimbangan mengenai kerjasama rasmi antara kedua-dua parti.

"Macam mana PAS nak isytihar perang kepada bukan Islam? Kita bersama-sama dengan bukan Islam.

"Tuduhan-tuduhan ini adalah tidak benar. Mungkin hasil daripada rasa ketakutan mereka dalam keadaan kerjasama yang berlaku.

"Dan ketakutan ini membuat mereka mengeluarkan bermacam-macam kenyataan," kata Iskandar ketika bercakap dalam seminar perpaduan nasional anjuran sayap penyokong bukan Islam parti itu atau lebih dikenali sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHHP).

Beliau merujuk kepada kenyataan yang dibuat Timbalan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP.

Nga awal minggu ini mendakwa kerjasama Umno-PAS akan mendorong kerajaan Taliban di Malaysia, manakala Lim pula berkata langkah itu adalah sama seperti "melancarkan perang" terhadap bukan Islam. Lim bagaimanapun mempesebelum memperbetulkan semula kenyataan tersebut.

Bertentangan dengan dakwaan bahawa PAS tidak bersikap mesra terhadap orang bukan Islam, Iskandar menegaskan parti itu mendapat sokongan kuat daripada ahli DHPP, serta penglibatan bukan Islam dalam kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Mengulas lanjut, Iskandar bersetuju dengan presiden MIC, SA Vigneswaran mengenai sikap double standard dalam isu kerjasama dengan PAS.

"Kenapa hanya DAP (sebelum ini) boleh bekerjasama dengan PAS?" soalnya.

Sementara itu, ketua DHPP, N Balasubramaniam memetik ayat Al-Quran dari surah Al-Maidah mengenai larangan terhadap orang Islam melakukan perbuatan zalim.

Berhubung seminar yang diadakan hari ini, Balasubramaniam berkata DHPP berharap dapat memberikan respons mengenai isu penghinaan terhadap Islam, yang bukan hanya dilakukan oleh bukan Islam tetapi juga umat Islam.

Seminar setengah hari itu turut menampilkan sesi mengenai sejarah hubungan kaum di Malaysia oleh penulis Cina-Muslim, Ann Wan Seng; pengalaman Kelantan menguruskan hubungan kaum oleh CEO pusat penyelidikan strategik Kelantan, Wan Nik Wan Yusuf; dan pengalaman Selangor menguruskan hubungan kaum oleh bekas exco kerajaan negeri Dr Halimah Ali.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.