Header

Memang ada syor Umno pinda perlembagaan


Umno mengakui wujud cadangan supaya perlembagaan parti itu dipinda agar mana-mana pemimpinnya yang didakwa di mahkamah boleh digugurkan jawatan masing-masing.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, bagaimanapun berkata isu itu masih berada di peringkat awal dan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkajinya.

Kata Annuar jawatankuasa tersebut dipengerusikan Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

"Jawatankuasa ini mengutip semua pandangan dan baru-baru ini mereka mengemukakan hasilnya untuk dibincangkan di pelbagai peringkat termasuk majlis tertinggi," katanya.

Selepas itu kata Annuar hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan sebelum bahagian-bahagian Umno mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memincangkannya.

Menurut Annuar proses berkenaan akan mengambil masa sehingga lima bukan lagi.

Anggota parlimen Ketereh itu juga menambah, cadangan meminda peruntukan itu bukanlah satu-satunya usul yang dikemukakan.

Kena bincang dulu

"(Ada) banyak, ia perlu dibincangkan," katanya.

Annuar ditemui media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu beliau diminta mengulas laporan Malaysiakini mengenai cadangan Umno dijangka meminda salah satu fasal dalam perlembagaannya melalui EGM Nov ini.

Menurut sumber, jika cadangan berkenaan diterima ia boleh membawa kepada pengguguran jawatan beberapa pemimpin kanan Umno termasuk presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata sumber itu peruntukan yang dicadangkan untuk dipinda ialah fasal 9.9 yang akan melucutkan jawatan parti bagi seseorang yang didakwa di mahkamah.

"Jawatan seseorang pemimpin parti akan gugur secara automatik apabila mereka didakwa di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Annuar dakwaan bahawa pindaan itu dibuat untuk mengetepikan pemimpin tertentu dalam Umno adalah bersifat spekulasi.

Ketika ini pun, katanya, Umno sudah ada peraturan mengenai seseorang pemimpinnya yang disabitkan bersalah oleh mahkamah.

"Orang yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, misalnya, memang ada peraturan yang melucutkan jawatannya," kata Annuar.

Untuk pindaan yang dicadangkan itu, katanya, ia mungkin untuk melengkapkan peraturan sedia ini.

"Buat masa ini tiada lagi keputusan dan kena bincang (dulu)," katanya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.