Header

'Jho Low minta lupuskan e-mel tapi saya simpan sebagai bukti'


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho mahu CEO 1MDB ketika itu, Mohd Hazem Abd Rahman melupuskan e-mel mengandungi isi perbincangan berkaitan transaksi melibatkan syarikat itu.

Bagaimanapun Hazem yang merupakan saksi pendakwaan ke-10 berkata dia sebaliknya menyimpan e-mel tersebut sebagai bukti.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika pemeriksaan utama hari ini.

Mustaffa bertanya sama ada Jho Low pernah memintanya melupuskan pelbagai e-mel yang mengandungi isi percakapannya dalam pelbagai isu melibatkan 1MDB.

Terdahulu, Hazem dalam keterangannya antara lain berkata, arahan Jho Low menerusi e-mel adalah sama seperti arahan daripada Najib.

Mustaffa: Low ada beritahu apa perlu dilakukan dengan e-mel itu?

Hazem: Low minta saya untuk melupuskannya.

Mustaffa: Anda lakukannya?

Hazem: Tidak.

Mustaffa: Kenapa?

Hazem: Saya ingin merekodnya sebagai bukti.

Ketika perbicaraan hari ini, Hazem membaca hampir separuh daripada pernyataan saksi 110 halamannya. Dia antara lain merujuk sejumlah e-mel berkaitan 1MDB yang dikenal pasti olehnya.

Mohd Hazem

Antaranya adalah e-mel daripada Jho Low kepadanya bertarikh 4 September 2013 bertajuk “Fwd: 1mdb questions” enclosed with an attachment titled “1MDB power plant deal”.

"Dokumen ini antara e-mel yang saya maksudkan berkenaan perbualan dan hala tuju oleh Jho Low ketika saya bekerja dengan 1MDB.

"Saya terima e-mel dari Low (dealrainman1@gmail.com) pada 4 September 2013, kira-kira pukul 7.12 petang," katanya.

Katanya, e-mel itu berkenaan jawapan yang perlu diberikan berhubung pertanyaan yang dibangkitkan berkenaan pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP), Tanjong Energy dan Genting Sanyen.

Antaranya berkenaan soalan seorang ahli politik pembangkang pada masa itu, yang mendakwa pembinaan kilang jana kuasa baru adalah lebih murah berbanding membeli Genting Sanyen.

"Jawapan yang dicadangkan Jho Low: 'Ini tidak benar kerana keuntungan menunjukkan ia melebihi harga membeli Genting dan Ananda (Krishnan)'. Low juga meminta input tambahan bagi jawapan itu," katanya lagi.

Hazem juga merujuk e-mel Jho Low berkenaan jawapan untuk soalan mengapa bayaran kepada Goldman Sachs untuk urus niaga IPP begitu tinggi, iaitu RM829 juta, dan sama ada ini kerana ia dilakukan secara kabur.

"Jawapan yang dicadangkan Jho Low: "Kos pengurusan mahal kerana transaksi ini kompleks'. Low juga meminta input untuk ditambah kepada jawapan," katanya lagi.




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.